-
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


“KALAU benar berita ini dan tiada sumbangan (RM90 juta) ke akaun PAS... Alhamdulillah.

“Kita sudah tegaskan beberapa kali, malah turut dijelaskan sendiri oleh (bekas Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak, dan (Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden) Datuk Seri Mohamad Hassan,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada dana RM90 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun PAS.

Penemuan itu dibuat selepas penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti akaun bank PAS dalam siasatan ke atas dakwaan yang mengatakan pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada UMNO.

Mengulas lanjut Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, tuduhan dan tohmahan berkenaan adalah untuk menjatuhkan imej kepada PAS terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, dakwaan berkenaan sudah dinafikan oleh PAS dan ia sudah diselesaikan di luar mahkamah.

“Bagi saya dakwaan (Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown) mengarut (dana RM90 juta). Saya jarang baca laporan kerana ia sekadar dakwaan dan tiada asas.

“Dia tidak punya bukti yang cukup dan tak sepatutnya dia tidak jujur. Sepatutnya dia perlu mengikat diri dengan persetujuan (selesai di luar mahkamah).

“Saya tak faham dengan dia (Clare) kerana kes sudah selesai (luar mahkamah),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:02 PM