LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohamad Azim Fitri Abd
Azizazimfitri@hmetro.com.my

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan bertemu bekas pemain bola sepak Johor FA, Anuar Arifin yang kini menjalani kehidupan gelandangan, dalam masa terdekat bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kehidupan sukar dilalui Anuar, 50, dan sudah mengarahkan pegawainya untuk menjalankan siasatan.

“Pegawai kita perlu bertemu dengannya dan siasat bantuan apa yang boleh diberikan. Bergantung kepada keadaan dia.

“Saya difahamkan dua anaknya tidak bersekolah, kita ambil maklum perkara itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di Kuantan, hari ini.

Sabtu lalu, Harian Metro mendedahkan Anuar yang pernah menjulang Piala Malaysia dan Liga Divisi 1 bersama Johor FA pada 1991 kini menjalani kehidupan gelandangan, terpaksa menjadikan keretanya sebagai ‘kediaman’.

Beliau yang pernah menerima gaji RM6,000 pada era kegemilangannya bagaimanapun terpaksa bersara awal pada 1997 akibat kecederaan sebelum menjalani kehidupan susah akibat kegagalan menguruskan kewangan dengan baik.

Sementara itu, Anuar ketika dihubungi memaklumkan dia sedia bertemu dengan pihak JKM dan berharap beliau serta dua anaknya dapat dibantu.

“Alhamdulillah, baguslah kalau ada orang yang ingin bantu. Saya sedia jumpa mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Dulu dijulang, kini gelandangan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 2:17 PM