BOT yang ditahan Maritim Malaysia. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat menahan seorang nelayan disyaki memiliki dadah ketika menangkap ikan di kira-kira 1 batu nautika dari Sungai Ayam, Batu Pahat, dekat Johor Bahru, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, dalam kejadian jam 10.10 malam itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan di sekitar perairan Batu Pahat memeriksa sebuah bot fiber dengan nelayan di dalam bot itu sibuk menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan ke atas nelayan tempatan berusia 25 tahun itu tidak menemui apa-apa, namun pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan satu paket mengandungi serbuk hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat dua gram.

“Berikutan itu, kami menahan nelayan dan bot berkenaan dan suspek dibawa pulang ke pangkalan Maritim Malaysia (Batu Pahat) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dadah.

“Kami serius membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang namun mengharapkan orang ramai menyalurkan maklumat bagi memudahkan kami menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebarang aduan atau kecemasan boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi Zon Maritim Batu Pahat di nombor 07 -4344020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:45 PM