PERKHIDMATAN bas henti-henti di sempadan Tebedu- Entikong. (Gambar kecil) Pemandu kereta sapu dari Kalimantan, Indonesia. FOTO Ihsan Persatuan Kereta Sewa Serian
Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@nstp.com.my


“BENAR Pak, saya menambang (bawa) penumpang dari Sanggau (Kalimantan Barat) ke Kuching,” katanya sambil mengangkat ibu jari seolah-olah memberi tanda pemandu kereta sapu dari wilayah berjiran itu seolah-oleh ‘kebal’ dari tindakan undang-undang di negara ini.

Pemandu berusia pertengahan 40-an itu, secara bersahaja mengakui dia sememangnya antara kereta sapu dari negara jiran yang bertindak membawa penumpang, sekali gus menjejaskan periuk nasi 70 pengusaha kereta sewa tempatan yang bernaung di bawah Persatuan Kereta Sewa Serian (PKSS)

Jurucakap PKSS berkata, kereta sapu Indonesia yang masuk ke Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Tebedu, Serian mampu meraih pendapatan RM7,000 sebulan, manakala pengusaha kereta sewa tempatan hanya sekadar menggigit jari.

“Hasil maklumat yang kami kumpul, kereta sapu negara jiran ini begitu mudah mendapatkan penumpang, sedangkan mereka tidak dibenarkan membawa penumpang masuk ke negara ini kerana tidak mempunyai permit diiktiraf undang-undang tempatan.

“Hari ini saya menahan sebuah kereta sapu Indonesia dan dia tanpa segan silu mengaku membawa penumpang sambil menunjukkan tanda ‘bagus’. Ini bermakna, mereka tidak kisah diambil tindakan kerana mana ada tindakan,” katanya.

Katanya, lebih mengecewakan tiada tindakan susulan dari pihak berkuasa walaupun sudah beberapa kali laporan rasmi dibuat kepada agensi berkaitan.

Sementara itu, jurucakap persatuan berkata, bas milik sebuah syarikat yang sepatutnya beroperasi dari Kuching ke Serian dan sebaliknya, semakin berani meluaskan operasi mereka ke Tebedu.

“Bas henti-henti ini tidak dibenarkan mengambil penumpang di Tebedu kerana lesen operasi mereka antara Kuching - Serian dan sebaliknya. Namun, berani melakukan perkara berkenaan kerana mengetahui tiada tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, lebih parah, kegiatan ulat tiket yang dikepalai rakyat Indonesia, juga semakin aktif menjalankan kegiatan haram mereka.

“Tidak cukup dengan bas henti-henti terbabit, syarikat bas ekspres pula bekerjasama dengan ulat tiket negara jiran mengambil penumpang, sekali gus mengakibatkan jumlah penumpang kecil saban hari bagi pengusaha kereta sewa tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 12:22 PM