GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


POLIS menahan lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan di tepi jalan berdekatan sekolah menengah di Bota dekat Seri Iskandar, sembilan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek warga emas berusia 63 tahun yang mempunyai kad pengenalan pemastautin tetap itu ditahan di Taman Bemban Suria, Batu Gajah, 1.30 pagi hari ini.

Katanya, penahanan suspek adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian lelaki yang juga buruh warga Indonesia.

Menurutnya, dalam kejadian 8.25 malam, 6 Mei 2010 itu, mayat Rofik Rahman, 22, ditemui tanpa dokumen pengenalan diri dengan kesan luka pada bahagian muka dan badan.

“Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota pergi ke rumah di taman berkenaan dan menahan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi kes bunuh itu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan polis sudah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek di Mahkamah Majistret Parit,” katanya dalam kenyataannya di Seri Iskandar, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, walaupun kes berkenaan sudah sembilan tahun berlaku, namun siasatan lanjut masih berjalan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Hasil siasatan dijalankan setakat ini mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan hutang.

“Bedah siasat terhadap mangsa sebelum ini mendapati kematiannya berpunca daripada tikaman dan luka di jantung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:57 AM