KEADAAN Gunung Baling yang terbakar. FOTO Safuri Kamarudin
BERNAMA

KEBAKARAN di Gunung Baling yang hampir dipadamkan sepenuhnya kembali marak jam 1 pagi tadi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling Mohd Jamil Mat Daud.

Beliau berkata, kebakaran berlaku di kawasan yang sudah berjaya dipadamkan sebelum ini dan ia berkemungkinan akan merebak ke kawasan baharu.

“Kita mengesan api kembali hidup sekitar jam 1 pagi. Operasi pagi ini bermula jam 8 pagi yang mana kita menghantar dua pasukan pemadam yang terdiri daripada 15 anggota bomba ke kawasan kebakaran.

“Cuma keadaan muka bumi di kawasan yang terbakar bercerun dan mengambil masa satu jam setengah untuk mendaki kawasan itu.

“Ini melambatkan tindakan untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Punca kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak 6 Februari lalu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:10 AM