KEADAAN premis yang dipecah masuk. (Gambar kecil) Suspek yang ditahan, peralatan yang digunakan untuk memecah masuk premis. FOTO Ihsan Polis.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 43 tahun ditahan selepas memecah masuk sebuah premis syarikat pemaju di Taman Selasih, Kulim semalam.

Dia ditahan kira-kira 8.30 malam di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian disedari pekerja syarikat yang masuk ke bangunan tiga tingkat itu untuk mula bekerja sekitar jam 8.30 pagi, sebelum majikannya meminta pekerja terbabit membuat laporan polis.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek melakukan kegiatan itu bersama seorang lagi yang masih bebas.

“Malah, suspek juga mengaku terbabit dalam kejadian itu, selain lima kes lain di sekitar daerah itu.

“Suspek juga ada beberapa rekod lampau termasuk dikehendaki bagi kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, selain tiga rekod lain berkaitan kesalahan sama; dua rekod kesalahan mengikut Seksyen 456 Kanun Keseksaan dan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dipercayai kerugian kira-kira RM20,000 selepas beberapa barangan termasuk sebuah peti besi dan peti simpanan wang tunai pejabat dipecahkan.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek didapati masuk melalui tingkap belakang bahagian bawah bangunan dengan cara memecahkan cermin tingkap.

“Bekalan elektrik juga dipotong oleh suspek.

“Tindakan mereka itu membolehkan kesemua pintu dapat dimasuki suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:51 AM