AHLI Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya. FOTO NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


AHLI Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya, 52, yang menjalani pembedahan jantung dibenarkan keluar dari hospital di Selangor, semalam .

Pegawai Khasnya, Mohd Hafiz Ahmad berkata, keadaan kesihatan Muslimin beransur pulih dan kini berada di pusat perubatan di ibu negara.

“Beliau sedang mengikuti prosedur pemulihan yang disyorkan doktor dan perlu berehat buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi di Sungai Besar, hari ini.

Kata Mohd Hafiz, Muslimin tidak sabar untuk berkhidmat, namun perlu berehat pulih sepenuhnya.

“Kita berharap beliau sembuh dalam kadar segera dan dapat meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di Parlimen ini,” katanya.

Sementara itu, Muslimin menerusi status di Facebook (FB) beliau mengucapkan kesyukuran kepada Allah.

“Alhamdulilah, hanya itu ucapan yang mampu diluahkan. Terima kasih semua yang mendoakan.

“Tahap kesihatan semakin baik dan segalanya atas kehendak Allah. Terima kasih anak buah,” katanya.

Media sebelum ini Muslimin selamat menjalani pembedahan jantung dan dilaporkan stabil pada 4 Februari lalu.

Anak sulung Muslimin, Mohammad Shahrul Fitri, 21, berkata, bapanya kembali sedar dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari.

Katanya, doktor menasihatkan bapanya berehat sekurang-kurangnya sebulan selepas pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:46 AM