GENG Zam Rawang mencuri kenderaandan membawanya ke bengkel untuk dileraikan. FOTO ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria

POLIS berjaya menumpaskan kumpulan curi kereta dikenali Geng Zam Rawang dengan tertangkapnya enam ahli kumpulan itu termasuk dalang utama dalam serbuan berasingan di Selangor, 1 Februari lalu.

Dalam serbuan itu polis turut merampas dua kenderaan dicuri dan pelbagai peralatan pecah kereta.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas laporan kehilangan dua kenderaan di daerah Port Dickson pada 26 dan 27 Januari lalu, polis menjalankan siasatan.

“Hasil risikan dilakukan, polis menahan sepasang kekasih berusia 32 dan 30 tahun di hotel bajet di Sungai Buloh, Selangor pada 3.15 pagi, 1 Februari lalu.

“Polis menyerbu pula rumah di Taman Sri Gombak, Selangor pada 4.30 pagi dan berjaya menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 37 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penahanan itu, Aidi Sham berkata, pihaknya berjaya mengesan seorang lagi ahli kumpulan yang bertindak sebagai pembeli dan menahan lelaki berusia 36 tahun itu di rumah di Damansara, Petaling Jaya pada 9 pagi hari sama.

Beliau berkata, modus operandi geng itu adalah menggunakan kereta sewa untuk mengekori mangsa sebelum mencuri kenderaan yang ditinggalkan mangsa dan membawanya ke bengkel untuk dileraikan.

“Semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah. Mereka direman mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga hari ini,” katanya.

Katanya, polis juga giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu pemilik bengkel dikenali M Paramasivam, 39, beralamat di 87 Jalan Gelang 6, Taman Ladang Glenmarie, Shah Alam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Farah Ain Hazeline Abdullah dan Sarjan Nur Azerie Azman di talian 06-6472222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 7:55 AM