Asma maut selepas motosikal yang dibonceng bersama suaminya dilanggar lori. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


WANITA maut selepas motosikal dibonceng bersama suaminya dilanggar lori ketika membuat pusingan U di Kilometer 3.6, lampu isyarat Utan Aji, Jalan Raja Syed Alwi, Kangar hari ini.

Asma Hasan, 58, maut di tempat kejadian selepas parah di pinggang dan kaki akibat dilanggar dari belakang oleh lori yang dipandu warga emas berusia 85 tahun.

Suami mangsa yang berusia 78 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa bersama suami menaiki motosikal menghala ke arah Kuala Perlis.

“Lori dan motosikal itu dari arah sama dan berhenti di lampu isyarat berkenaan.

“Motosikal terbabit yang berada di sebelah kiri lori cuba memotong lori berkenaan bagi membuat pusingan U ketika lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan.

“Bagaimanapun pemandu lori yang terkejut dengan tindakan penunggang motosikal terbabit tidak sempat menekan brek lalu merempuh mereka,” katanya ketika dihubungi.

Wari berkata, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 11:58 PM