Anggota bomba membantu melepaskan tangan kanan Mohammad Khan yang tersepit pada mesin pengisar. Foto Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI parah selepas tangan kanannya hancur akibat tersepit dalam mesin pengisar daging ketika memproses daging ayam pada mesin berkenaan di sebuah premis di Foh Sang, Jalan Kolam, Kota Kinabalu, 3 petang hari ini.

Mohammad Khan Espirman, 19, yang mengalami pendarahan teruk pada tangannya itu dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu oleh majikannya untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik tiba di HQE I, usaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit gagal sebelum pihak hospital meminta bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Pegawai Bomba Kanan II Norkizan Durudin berkata, pihaknya menerima panggilan 4.11 petang berhubung lelaki cedera pada tangan kanan akibat tersepit dalam mesin pengisar daging.

“Pasukan bomba yang tiba lima minit kemudian melakukan operasi memotong mesin pengisar itu dengan menggunakan peralatan khas.

“Selepas hampir dua jam setengah, tangan mangsa berjaya dikeluarkan daripada mesin pengisar daging,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Norkizan berkata, mangsa seterusnya menerima rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa stabil dan operasi tamat 6.42 petang,” katanya.

#kw tangan kanan hancur, tersepit mesin pengisar daging

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:40 PM