Gambar hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

POLIS menahan seorang wanita dan merampas syabu seberat 13.42 gram di hadapan sebuah kedai di Jalan Pengkalan Chepa, Dusun Raja, Kota Bharu, hari ini.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan ketika berada dalam kereta Honda Accord pada 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum itu, anggotanya yang melakukan rondaan melihat kereta dinaiki suspek berhenti di hadapan sebuah kedai.

Katanya, anggota kemudian menghampiri kereta itu selepas melihat seorang wanita bersendirian dan mencurigakan di tempat duduk penumpang hadapan.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai polis dan memintanya keluar, wanita itu bertindak menolak pintu di bahagian depan untuk melarikan diri sambil menggenggam sesuatu di tangan kirinya.

“Bagaimanapun tindakan pantas anggota berjaya menahan suspek yang kemudian menyerahkan satu paket plastik hitam berisi ketulan kristal disyaki syabu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui satu plastik berisi 14 paket yang ada dadah disyaki syabu di tempat letak kaki penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahim berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan, malah ujian saringan dilakukan mendapati dia positif dadah Amphetamine.

Susulan itu, dia direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:22 PM