Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz; Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Amin Ridzuan Ishak
am@hmetro.com.my


“DEMI Allah, saya tidak pernah ada masalah dengan dia (suspek) dan saya tidak tahu apa yang membuatkan dia mengaku berdendam dengan keluarga saya.

“Tergamak dia memperlakukan anak saya sebegitu sedangkan selama ini saya melayan dia dengan baik," kata Solihah Abdullah, 35, ibu kepada Siti Masitah Ibrahim yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dijumpai Sabtu lalu.

Solihah berkata, dia tidak tahu apa yang menyebabkan lelaki terbabit berdendam dengan keluarganya sehingga baby (nama panggilan manja Siti Masitah) menjadi mangsa kekejamannya dan diperlakukan sebegitu rupa.

“Kami sekeluarga melayannya dengan baik seperti adik sendiri, sanggup dia (suspek) membalasnya dengan kejam, biar Allah tentukan nasibnya,” kata Solihah.

Mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Kemahang, Pekan, pada 5 petang Sabtu lalu.

Lebih memilukan kepala mangsa didapati terpisah dari badannya, manakala beberapa organ dalamannya hilang.

Solihah berkata, dia terkejut apabila diberitahu pegawai penyiasat bahawa suspek yang mengaku membunuh anak ketiganya daripada empat beradik melakukan jenayah itu atas faktor berdendam dan marah dengan mereka.

Katanya, dia sebenarnya sudah lama tidak bertemu dengan suspek yang berpindah ke kampung lain sejak dua tahun lalu dan terkejut melihat kelibatnya di kampung itu pada hari anaknya dilaporkan hilang, 30 Januari lalu.

“Malah, dia (suspek) masuk ke rumah saya kira-kira jam 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit yang saya hanya menyedarinya hilang ketika hendak menghubungi ahli keluarga.

“Telefon bimbit saya ada bersama dengannya ketika ditangkap orang kampung, dia menafikan ada mengambil anak saya, walaupun ada orang melihatnya bersama Siti Masitah pada petang anak saya dilaporkan hilang.

“Saya ada melihat kelibatnya di rumah sekitar 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit saya, hanya selepas mayat anak ditemui baru dia mengaku membunuhnya,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia reda dengan takdir itu dan bersyukur kerana jenazahnya ditemui bagi membolehkan ia dikebumikan secara sempurna.

“Saya ada dipanggil ke Hospital Pekan untuk diambil darah bersama suami (Ibrahim Ali) hari ini bagi membantu proses pemadanan DNA (Asid Deosiribonukleik) dengan anak saya.

“Saya berharap anak saya dikebumikan dengan segera selepas semua proses selesai.

“Jauh di sudut hati saya mahu memeluknya (jenazah) kerana dia anak saya, walau bagaimanapun keadaannya saya tidak kisah..namun sehingga kini saya masih belum berpeluang berbuat demikian," katanya.

Solihah berkata dia berharap jenazah anaknya dapat dikebumikan secepat mungkin selepas semua proses selesai.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Siti Masitah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 8:20 PM
    SOLIHAH menangis ketika bercerita mengenai Siti Masitah yang bunuh dengan kejam oleh lelaki yang dilayan dengan baik serta dianggap seperti adik sendiri ketika ditemui di rumahnya, hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.