FOTO Hiasan
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, secara bersama mengeluarkan surat tuntutan ke atas AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd dan masing-masing kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan terbabit, Riad Asmat dan Benyamin Ismail.

Ia berhubung beberapa artikel yang tidak tepat serta mengelirukan disiarkan di portal syarikat penerbangan tambang murah itu, AirAsia Newroom.

MAHB dalam kenyataan berkata, menerusi surat tuntutan itu, pengendali lapangan terbang itu menuntut AirAsia untuk mengeluarkan semua artikel terbabit dari portal berkenaan.

“Malah, AirAsia juga perlu berhenti daripada berterusan membuat kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan terhadap MAHB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun MAHB tidak membangkitkan sebarang isu dengan tindakan AirAsia yang memaklumkan kepada pemegang sahamnya mengenai status tuntutan mahkamah itu, bagaimanapun, syarikat itu terus bertindak melampaui batas.

“Syarikat penerbangan itu melampaui batasan dengan menerbitkan kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan pihak media dengan tujuan untuk merosakkan reputasi MAHB,” katanya.

Berdasarkan kepada situasi terbabit, MAHB tiada pilihan melainkan untuk mengeluarkan surat tuntutan bagi melindungi kepentingannya.

Sementara itu, Riad dan Benyamin dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya tidak terkejut dengan respons undang-undang lain daripada MAHB berdasarkan kenyataan akhbar yang dibuat sebelum ini.

“Namun, kami hairan pengendali lapangan terbang itu terus menggunakan kedudukan dominannya dan ancaman tindakan undang-undang untuk menyekat komen yang adil.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami hanya memberi maklum balas kepada saman yang difailkan oleh MAHB berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:34 PM