Siti Kasim tidak didakwa selepas Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pertuduhan terhadapnya. FOTO Rosdan Wahid
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


JABATAN Peguam Negara membatalkan arahan pertuduhan terhadap peguam, Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dianjurkan pada September, dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan berhubung Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim sebelum ini dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara semalam.

“Selepas meneliti semula segala fakta dan keterangan, Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan pada 18 April lalu dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 September 2016, peguam itu didakwa menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang penonton ketika forum bertajuk RUU355 di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Insiden dipercayai berlaku selepas Siti Kassim hadir ke forum berkenaan mengkritik RUU berkenaan sehingga mengakibatkan penonton di forum itu menyindirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:24 PM