Fatimah tinggal di bangsal kerana tidak mahu menyusahkan anak dan menantu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


TIDAK mahu menyusahkan anak dan menantu, warga emas, Fatimah Yusoff, 67, dari Kampung Pengkalan Nangka, Kota Bahru memilih tinggal di bangsal serba kekurangan sejak lebih lima tahun lalu.

Bangsal yang sebelum ini digunakan sebagai tempat meletakkan kenderaan, dihuni Fatimah selepas kediaman mereka sekeluarga musnah dalam kebakaran pada September 2012.

Fatimah berkata, sebelum ini, dia tinggal di rumah pusaka bersebelahan bangsal itu bersama arwah suami, Mohamed Hasim Sulaiman dengan anak, menantu serta cucunya.

“Selepas kebakaran itu, kami tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa menghuni bangsal ini selama hampir setahun sementara menunggu bantuan rumah siap dibina pada 2013 di atas tapak rumah yang terbakar.

“Sebaik rumah siap dibina, saya berikan kepada anak bongsu kerana dia mempunyai anak kecil yang memerlukan ruang lebih selesa dan saya pula terus memilih untuk tinggal di bangsal,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, anaknya pernah beberapa kali memujuknya untuk tinggal bersama, namun dia menolaknya.

“Anak yang tinggal bersebelahan dengan bangsal ini selalu datang menjenguk dan menghulurkan makanan kepada saya setiap hari.

“Biarlah saya tinggal di bangsal ini kerana ia lebih selesa, saya juga memohon mana-mana pihak yang boleh membantu saya membaiki bangsal ini kerana setiap kali hujan, saya tidak dapat tidur lena,” katanya.

Katanya, dia turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM120 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk membeli ubat, selain membayar bil elektrik.

“Anak sulung saya pula sudah meninggal dunia dua tahun lalu kerana kanser, manakala anak lain tinggal di sekitar Kota Bharu dan luar Kelantan.

“Mereka bukan dalam kalangan orang senang dan hanya bekerja kampung,” katanya.

Keadaan bangsal yang didiami Fatimah di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:10 PM