Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Suffian Santong. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEKUMPULAN penjenayah dipercayai memecah masuk pusat pameran dan servis kereta di Kuala Nerus serta melarikan empat kenderaan membabitkan kerugian RM540,000.

Kehilangan itu hanya disedari seorang pekerja kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin yang ke premis berkenaan sebelum mendapati pintu belakang dipecah serta pejabat berselerak.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan Suffian Santong berkata, pemeriksaannya kemudian mendapati tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander 2.0 hilang.

Katanya, tiga daripada kenderaan itu sudah didaftarkan, manakala sebuah lagi Mitsubishi Triton adalah kenderaan baharu.

“Hasil siasatan, suspek dipercayai masuk ke dalam premis menggunakan sebuah kerusi yang digunakan untuk memanjat tong drum di belakang dinding premis bagi memecahkan zink lut sinar.

“Sebaik masuk ke dalam premis itu, suspek turut mencabut plug kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan menyelongkar meja tempat penyimpanan kunci sebelum melarikan tiga kenderaan yang diletakkan di hadapan premis dan sebuah lagi di garaj.

“Kita percaya sekurang-kurangnya empat suspek terbabit dalam jenayah itu memandangkan semua kenderaan hilang pada masa sama.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:49 PM