RIDUAN (kiri) melihat Siti Masitah membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki pada hari kejadian. (Gambar kanan) Mohd Salleh. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my

“SAYA masih lagi teringat lambaian Masitah ketika terserempak dengannya di hadapan Sekolah Kebangsaan Tanjung Medang, pada hari dia dilaporkan hilang, dia kelihatan seperti biasa sahaja.

“Ketika itu dia membonceng motosikal berwarna kuning hitam ditunggang seorang lelaki bernama Assom menghala ke jalan besar," kata Riduan Ibrahim, 12.

Riduan adalah rakan kepada Siti Masitah Ibrahim, 11, yang ditemui mati dalam keadaan tragis dengan keadaan tangan terikat dan tidak berseluar pada 5 petang Sabtu lalu.

Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari menjalani latihan bola tampar di sekolah dan melihat sebuah motosikal ditunggang dengan laju melalui jalan sama.

“Saya mengetahui Masitah yang membonceng motosikal itu berdasarkan baju berwarna biru dipakainya..saya tidak dapat melihat wajah Masitah kerana dia menggunakan topi keledar yang menutup mukanya.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan Masitah hilang pada malam itu, sebagai rakan saya turut bersedih di atas kejadian menimpanya," katanya.

Riduan berkata, walaupun agak pendiam tetapi Siti Masitah seorang rakan baik serta rajin, mereka bersama-sama mengikuti kelas Fardhu Ain di Madrasah Islamiah di Kampung Kemahang, Tanjung Medang, di Pekan.

Mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang.

Lebih memilukan kepala mangsa didapati terpisah dari badannya manakala beberapa organ dalamannya.

Sementara itu, seorang guru di madrasah itu, Mohd Salleh Ibrahim, 29, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya ketika belajar dan tidak pernah ponteng sekolah.

“Masitah selalu sampai ke kelas lebih awal dan mendengar kata, dia seorang murid yang baik.

“Saya sedih dengan kejadian menimpanya dan berharap keadilan dapat ditegakkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Siti Masitah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:41 PM