FOTO Hiasan
Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nst.com.my

SAMPEL tisu daripada bangkai anjing yang menggigit seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Air Kuning, Taiping, minggu lalu, didapati negatif penyakit anjing gila atau rabies.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, kanak-kanak berkenaan tidak disaran menerima vaksin rabies.

“Kami menyarankan supaya Jabatan Kesihatan negeri hanya merawat luka akibat gigitan anjing itu sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 1.30 tengah hari Khamis lalu, Muhammad Raqib Rayyan Mohammad Nazri, 5, dilaporkan diserang anjing jirannya secara tiba-tiba ketika bermain bersama rakan.

Mangsa cedera pada betis kanan, sebelum pemilik haiwan itu menyerahkannya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa berkaitan untuk dilupuskan.

Dr Quaza Nizamuddin menjelaskan, sehingga kini sebanyak 4,444 anjing sudah diberi vaksin rabies di Larut, Matang dan Selama (LMS) yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies pada 14 Januari lalu.

“Sebanyak 677 anjing dan lapan kucing di daerah berkenaan sudah dilupuskan, selain turut merekodkan 71 kes digigit anjing sehingga hari ini.

“Daripada 112 sampel yang diambil daripada otak anjing, hanya empat anjing sahaja yang disahkan positif rabies dan tiada kes baharu rabies dilaporkan setakat ini,” katanya.

Berita berkaitan

Jangan bawa pulang anjing ke lms

Taiping, Bukit Gantang diwarta wabak rabies

Wabak rabies kini tahap II

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:19 PM