Mayat Ng Kim Fah (gambar kecil) diusung untuk dihantar ke hospital. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my

PENGUSAHA perabot ditemui mati di dalam tandas rumah kedainya di Pekan Baru, Sungai Petani, hari ini.

Mayat Ng Kim Fah, 62, ditemui adiknya Ng Ah Fui, 61, pada 11 pagi ketika ke premis itu untuk mengambil kereta yang dipinjam mendiang sejak Sabtu lalu.

Ah Fui ketika ditemui berkata, mendiang tinggal sendirian selepas kematian isteri, manakala tiga anaknya menetap di Selangor.

“Dia meminjam kereta saya kerana beritahu mahu keluar makan dan sekitar 9 malam (Sabtu) saya lihat dia sudah pulang memandangkan premisnya dengan rumah kedai saya terletak 300 meter saja.

“Semalam saya ada hubungi dia untuk maklumkan mahu ambil kereta kerana akan ke Alor Setar esok, tetapi dia tidak menjawab panggilan saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ah Fui berkata, dia kemudian ke rumah kedai abangnya dan melihat beberapa kenalan mendiang turut mengetuk pintu kedai.

Katanya, abangnya sepatutnya mula berniaga hari ini selepas bercuti dan mereka pelik apabila mendapati premis itu tidak dibuka.

“Saya dapati pintu kedainya berkunci dari dalam dan pecah masuk sebelum mendapati abang sudah tidak bernyawa di dalam tandas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan adik mangsa tidak mengetahui sama ada mangsa menghidap apa-apa penyakit.

“Melalui semakan di hospital, tiada rekod kesihatan membabitkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 5:49 PM