TIGA rakan dipenjara tujuh tahun dan empat sebatan kerana merompak. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TIGA rakan dipenjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bahru, hari ini terhadap dua tuduhan merompak suami isteri, bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Zakaria, 23, Mohd Affendi Abdullah Zawawi, 36, dan Roslan Fauzi, 37, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 31 Januari 2019.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa merompak rantai leher, gelang tangan dan wang RM700 milik Miss Esoh Buesa dengan parang dan pisau.

Kesalahan dilakukan di perumahan belakang Berek Polis Wakaf Mek Zainab jam 11.30 malam, 30 Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, waktu dan lokasi sama, mereka didakwa merompak telefon bimbit Razali Hussin menggunakan pisau dan parang.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebat.

Terdahulu, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum kerana perlu menjaga keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dan penggunaan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:58 PM