Gajah liar seberat lebih tiga tan yang berjaya dijinakkan diKampung Bersia Lama, Gerik, Perak oleh pihak PERHILITAN. FOTO Ihsan PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my


GUNA khidmat `pakar goda' bernama Abot dan Rambai bagi menundukkan seekor gajah liar jantan yang mengganggu penduduk dan merosakkan tanaman.

Itu antara kaedah pemujukan digunakan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bagi menangkap gajah liar seberat lebih tiga tan itu di Kampung Bersia Lama, Gerik, Perak.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Abot dan Rambai yang juga gajah denak terlatih digunakan pihak PERHILITAN bagi menjinakkan gajah liar yang menceroboh Kampung Bersia Lama, Gerik, Perak sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, gajah liar itu berjaya ditangkap sekitar jam 9.30 pagi kelmarin, selepas usaha dilakukan dengan penuh berhati-hati.

“Kebiasaannya pihak PERHILITAN melakukan persiapan rapi hampir seminggu bagi menjejaki gajah liar terbabit dan peralatan yang mahu digunakan untuk menangkap gajah liar berkenaan.

"Pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa sehingga proses pemindahan gajah berjaya dilakukan. Biasanya anggota PERHILITAN berdepan cabaran termasuk isu keadaan lokasi dan bentuk muka bumi. "Namun dengan pengalaman yang ada, kami berjaya menjinakkan gajah liar itu menggunakan khidmat pelatih gajah dan dua gajah denak betina yang dibawa khas bernama Abot dan Rambai," katanya.

Sebelum ini PERHILITAN turut berjaya memindahkan dua anak gajah betina dan ibunya selepas haiwan itu merosakkan tanaman di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Operasi pemindahan gajah betina seberat tiga tan dan anak gajah masing-masing seberat dua dan satu tan itu dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Operasi itu turut menggunakan gajah betina dikenali sebagai Abot dan Rambai yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan ke Taman Negara Pahang. Kadir meminta orang ramai yang berdepan masalah gangguan gajah supaya melaporkannya kepada pihak PERHILITAN.
"Sebaiknya jangan cuba melakukan tindakan provokasi atau mendekati gajah liar berkenaan berikutan mamalia besar itu boleh mengancam nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:34 PM