MUHAMMAD Asyraf Mohd Kassim (kanan) abang kepada Muhammad Adib hadir untuk mengikuti inkues. FOTO Sairien Nafis
Iskandar Shah Mohamed dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


ABANG kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim antara ahli keluarga yang menghadiri hari pertama pendengaran inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati Muhammad Asyraf yang berpakaian kemas dilihat memasuki bilik saksi mahkamah itu, sejak kira-kira 9.30 pagi.

Beliau dilihat turut diiringi beberapa pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Puluhan petugas media ketika ini memenuhi pekarangan mahkamah itu bagi membuat liputan inkues berkenaan yang bermula jam 10 pagi.

Polis bagaimanapun hanya membenarkan seorang wartawan mewakili agensi masing-masing untuk memasuki mahkamah berkenaan.

Difahamkan, tiga saksi dijangka memberi keterangan pada prosiding hari pertama inkues itu dan tujuh saksi disenaraikan pihak pendakwaan untuk dipanggil dalam masa terdekat.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 11:56 AM