Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

TIGA saksi dijangka memberi keterangan pada prosiding hari pertama inkues punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner, Shah Alam, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang juga seorang daripada pegawai pengendali berkata, tiga saksi itu termasuk pegawai polis yang menerima laporan berhubung kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang, November lalu.

"Seorang lagi dua anggota bomba yang memandu Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) semasa kejadian itu," katanya.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya sudah menyenaraikan tujuh saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat.

Terdahulu, beberapa saksi terdiri daripada pihak bomba dan seorang lelaki dipercayai abang Muhammad Adib tiba di mahkamah pada 9.30 pagi.

Inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib dijangka bermula 10 pagi.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:29 AM