DADAH disyaki syabu yang dirampas polis daripada. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


UPAH RM400. Itu jumlah yang diterima lelaki yang dijadikan ‘keldai’ untuk mengambil dadah yang ditempah sindiket tertentu dari lokasi yang ditetapkan.

Kegiatan suspek berusia 22 tahun itu akhirnya menjerat diri selepas dia ditahan sepasukan polis di perkarangan sebuah rumah inap desa di Batu Kawa, Padawan, kelmarin.

Penahanan suspek dibuat pada 9.45 malam selepas risikan dijalankan pasukan polis sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pemeriksaan lanjut menemui ketulan kristal disyaki syabu seberat 56.6 gram dianggarkan mencecah nilai lebih RM20,000.

Menurutnya, polis menemui dadah berkenaan disimpan di dalam poket seluarnya dipercayai baru diambil dari lokasi tertentu sebelum diserahkan kepada sindiket.

“Siasatan awal mendapati dadah yang ditemui adalah milik pengedar tempatan yang dikenali suspek.

“Suspek diberi upah RM400 untuk mengambil dadah berkenaan di lokasi ditetapkan pengedar lain selepas pembayaran dibuat ‘majikannya’,” katanya, hari ini.

Aidil berkata, suspek mengakui melakukan kegiatan itu sejak seminggu lalu dan dadah dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada penagih sekitar daerah ini.

Katanya, saringan air kencing juga mendapati suspek positif syabu dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas Perodua Axia milik suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:25 AM