Dua wanita bersama gambar anak perempuan mereka yang dalam tahanan di Kemboja. FOTO Nadim Bokhari.
BERNAMA

AHLI Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dijadual berlepas ke Kemboja pada Rabu ini bersama delegasi media serta ahli keluarga tahanan rakyat Malaysia di negara itu, bagi meninjau situasi sebenar dan melihat keadaan mereka di sana.

Larry Sng dalam kenyataannya hari ini berkata, pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja sudah berjaya mengatur lawatan delegasi terbabit ke penjara Banteay Meanchey.

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa pihak AirAsia juga akan turut serta dalam Misi Menyelamat serta membawa pulang tahanan rakyat Malaysia dengan membiayai kos membawa pulang ke tanah air.

“Saya berasa amat berbangga kerana banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dikatakan ditahan di negara berkenaan setelah terpesona dengan janji gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditahan itu dikatakan berasal dari Sarawak.

Berita berkaitan:

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:52 PM