ANTARA aksi berbahaya tujuh lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima di Lebuhraya DUKE. FOTO Ihsan Polis
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


PELAJAR tingkatan lima yang leka berlumba sambil melakukan aksi ‘superman’ bersama enam lagi lelaki ditahan dalam Ops Samseng Jalanan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Sebelum ditahan, pelajar serta enam lagi lelaki berkenaan didapati bersaing sesama sendiri serta melakukan aksi zig zag.

Malah, mereka sempat melakukan satu pusingan perlumbaan di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) sebelum dicekup dalam operasi diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaaan JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafiee Ishak.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi bermula 1.30 hingga 4 pagi di lebuh raya itu dilakukan susulan lokasi itu kerap dijadikan ‘medan perlumbaan’ dalam kalangan mat rempit di ibu negara.

Katanya, dalam operasi itu, tujuh lelaki berusia antara 17 Hingga 27 tahun termasuk remaja berkenaan ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Selain melakukan tindakan berbahaya seperti berlumba sesama sendiri, melakukan zig zag dan superman, tiga daripada lelaki berkenaan didapati tidak memiliki lesen menunggang yang sah.

“Jadi, kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 42 APJ 1987 ketika berlumba antara laluan Kampung Padang Balang dan Gombak di lebuh raya berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata, selain Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, JSPT Kuala Lumpur turut menjalankan Ops Motosikal di dua lokasi iaitu di Jalan Pahang dan Jalan Raja Laut sempena Ops Selamat.

Katanya, sebanyak 414 saman dikeluarkan dalam operasi bermula 11 malam hingga 1 pagi.

“Kebanyakan kesalahan adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada lampu belakang, tiada lampu isyarat, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada nombor pendaftaran.

“Malah, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh mengikut Seksyen 108 APJ 1987 kerana menunggang tanpa lesen sah serta menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:21 PM