Gambar Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


POLIS melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki tiga lelaki yang cuba melanggar pihak berkuasa ketika pemeriksaan di Jalan Besar Paka -Al Muktafi Billah Shah, Ketengah Jaya, Dungun, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 6 petang ketika dua anggota berpangkat Lans Koperal melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Ketengah Jaya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, anggota yang menunggang motosikal terserempak dengan kereta Perodua Viva dinaiki tiga lelaki tidak dikenali itu berhampiran kedai di Kerteh 1.

Menurutnya, anggota terbabit bertindak menghampiri kenderaan itu bagi membuat pemeriksaan dengan memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan tiga suspek keluar daripada kenderaan.

“Bagaimanapun, pemandu enggan memberi kerjasama apabila cuba melanggar seorang anggota polis di hadapan kereta mereka, tetapi sempat dielak namun kenderaan dinaiki mereka melanggar motosikal anggota terbabit.

“Suspek kemudian mengundurkan kereta dan cuba merempuh seorang lagi anggota polis menyebabkan anggota berkenaan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar depan di sebelah kanan.

“Dua anggota, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, sejurus kejadian itu, tiga suspek masih enggan memberi kerjasama apabila melarikan diri menuju ke arah Paka.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:48 PM