WEI Shien harap lawatan dapat disertai wakil media bagi mendapatkan pandangan jelas dan maklumat terperinci. -Foto BERNAMA
Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@nstp.com.my


KUCHING: Seorang daripada 47 tahanan warga Malaysia dikejarkan ke hospital di Poipet, Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja minggu lalu bagi menjalani pembedahan dalam perut.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata, perkembangan itu dimaklumkan sendiri ahli keluarga tahanan terbabit di Sarawak.

“Ini sudah saya maklumkan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, selain menyatakan hasrat melawat semua tahanan bersama waris mereka khususnya yang berasal dari negeri ini.

“Kita berharap lawatan itu turut disertai wakil media tempatan bagi mendapatkan pandangan jelas dan maklumat terperinci apa yang berlaku untuk pengetahuan rakyat kita, khususnya penduduk Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Larry berkata, pihaknya mengumpul maklumat mengenai perkembangan terkini tahanan yang menjalani pembedahan itu termasuk penyakit dihidapnya.

“Kita berharap kebajikan semua tahanan dijaga Kerajaan Kemboja. Justeru, penting untuk kita mengadakan lawatan bagi melihat sendiri keadaan mereka di sana.

“Ini juga bagi mendapatkan gambaran jelas terhadap pelbagai tanda tanya dan kekeliruan dalam kalangan anggota keluarga mereka,” katanya.

Terdahulu, pada 11 Disember lalu, 47 rakyat Malaysia dengan 44 daripadanya berasal dari Sarawak ditahan pihak berkuasa Kemboja atas dakwaan terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian di negara berkenaan.

Difahamkan, semua individu terbabit diperdaya dengan tawaran kerja sebagai jurujual barangan elektrik jenama terkenal antarabangsa yang menawarkan gaji lumayan antara USD100 (RM400) hingga USD200 (RM800) sehari beserta tiket penerbangan dan tempat tinggal percuma, selain peluang melancong.

Mereka hanya menyedari diperdaya ‘agensi pekerjaan’ dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa selepas rumah didiami diserbu pihak berkuasa Kemboja.

Hingga kini, semua tahanan tidak didakwa di mahkamah, malah boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun mengikut undang-undang negara itu.

Ketika mengulas lanjut, Larry berkata, memandangkan komunikasi antara mangsa dan ahli keluarga terhad, beliau berusaha menggunakan kapasiti peribadi untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Saya mohon semua rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan semua tahanan dalam keadaan selamat. Mereka adalah anak kita dan anak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri menyokong usaha Wisma Putra membebaskan semua tahanan terbabit dan bersiap sedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:12 AM