Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


BERANG abang iparnya enggan memberi wang untuk membeli dadah menyebabkan seorang lelaki tergamak mengacu pisau ke leher anak saudara perempuannya sebelum mengurung mangsa di dalam bilik air di Taman Serai Wang, Padang Serai, Kulim, semalam.

Malah, dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa menempuh detik cemas apabila suspek berusia 35 tahun itu mengurungnya di dalam bilik air selama hampir enam jam.

Bagaimanapun, mangsa akhirnya dapat diselamatkan pihak polis yang memujuk dan berunding dengan suspek sebelum menahannya jam 11.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, suspek pada mulanya datang ke rumah itu dan meminta sejumlah wang dipercayai ingin membeli dadah.

Namun, abang iparnya enggan memberi menyebabkan dia mengamuk.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengacu pisau ke leher anak saudara perempuannya dan terus membawa masuk ke dalam bilik air dan mengurung diri.

“Abang ipar suspek yang bimbang dengan keselamatan anaknya kemudian terus menghubungi polis meminta bantuan.

“Polis yang tiba kemudian memujuk suspek menyerah diri dan cuba berunding namun dia tetap enggan keluar malah meminta menyerahkan wang dan memberinya dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mior Faridalthrash berkata, polis terpaksa bertindak merempuh pintu bilik air itu demi menyelamatkan mangsa selepas rundingan dengan suspek tidak berhasil.

“Berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek ditahan manakala mangsa yang sudah dalam keadaan lemah dapat diselamatkan dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

“Siasatan juga mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 8:28 AM