SEBUAH kereta BMW dan motosikal antara terkandas dalam kejadian banjir kilat di laluan Stesen LRT Glenmarie di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Subang dan Jalan Glenmarie, Shah Alam akibat hujan lebat, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PULUHAN kenderaan termasuk sebuah kereta BMW terkandas kira-kira dua jam selepas Jalan Lapangan Terbang Subang dan Jalan Glenmarie Shah Alam dilanda banjir kilat, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati sebuah kereta dan kira-kira 20 buah motosikal terkandas berikutan air naik mendadak di jalan berkenaan.

Kejadian berlaku 5 petang susulan hujan lebat bermula sejam sebelum itu.

Bagaimanapun kenderaan yang terkandas boleh melalui kawasan berkenaan selepas dua jam dan air mula surut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Norizham Mohd Nudin ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

“Bagaimanapun pihak bomba sentiasa memantau dan akan membantu jika menerima sebarang laporan berhubung kegiatan menyelamat,” katanya.

Difahamkan jalan terbabit sering dinaiki air jika hujan lebat berterusan selama lebih sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 8:30 PM