Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed menunjukkan senjata digunakan untuk membunuh mangsa. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

PERGADUHAN berkaitan kisah lampau dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan senegara di rumah sewa di tingkat satu bangunan premis perniagaan di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, awal pagi ini.

Lelaki dikenali Aling berusia 20-an dikatakan memulakan provokasi mengenai peristiwa silam mereka di kampung halaman menyebabkan suspek berang dan menikam mangsa dalam kejadian jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam segera ke lokasi kejadian dan menemui mangsa terbaring di hadapan pintu sebuah bilik dengan usus perut terburai.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan tikaman pada bahagian kiri perut.

“Malah, pemeriksaan di bahagian dapur rumah menemui pisau pemotong daging berukuran 33.5 sentimeter dengan kesan darah disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa. Kita turut merampas pakaian dan tin minuman keras,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini.

Berikutan kejadian itu, Aidi Sham berkata, polis menjalankan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar di sebuah premis di Kampung Kuala Lukut, di sini, pada jam 4.30 pagi.

“Hasil soal siasat membawa kepada penemuan lima lagi suspek warga sama di kawasan perhentian bas di Lukut. Mereka dipercayai sedang menunggu bas untuk melarikan diri.

“Siasatan lanjut terhadap semua suspek berusia 20-an itu mendapati hanya seorang memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) manakala lima lagi suspek tiada dokumen diri,” katanya.

Katanya, suspek mendakwa mereka baru tiba di negara ini beberapa hari lalu dan bekerja sebagai pembantu restoran di kawasan berhampiran serta menyewa di rumah berkenaan.

Beliau berkata, keenam-enam suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 6:31 PM