MUHYIDDIN (duduk, tengah) dan Marzuki Yahya pada sidang media selepas pertemuan bersama Jawatankuasa Bahagian Bersatu. FOTO Azhar Ramli
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 14 Februari ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sama ada beliau atau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat pengumuman itu pada 4 petang.

Katanya, profil calon berkenaan hanya akan dikongsi sebaik diumumkan, namun ianya sudah pasti mengambil kira suara akar umbi, mempunyai kelayakan dan berbudi pekerti.

"Sudah tentu calon ini dipilih selepas mengambil kira pandangan di peringkat bawahan. Daripada enam orang, calon inilah yang kita akan umumkan.

"Yang mustahak bila kita namakan, kita akan berikan nama, latar belakang yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat di kawasan Semenyih," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Bahagian Bersatu dan pengerusi Pusat Daerah Mengundi serta ketua kampung di Semenyih, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya bersama pimpinan setempat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, secara umumnya Bersatu dan Pakatan Harapan sudah bersedia dan pertemuan itu membincangkan beberapa perkara berbangkit seperti isu setempat dan nasional.

Katanya, penjelasan juga diberikan kepada mereka yang berkenaan mengenai situasi semasa termasuk langkah kerajaan menangani kos sara hidup dan usaha membantu rakyat.

"Saya juga dimaklumkan mengenai isu banjir di kawasan Semenyih ini dan saya akan bawa ke mesyuarat kabinet untuk perhatian menteri bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu ketika ditanya berhubung kehadiran Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang sebagai calon bebas, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengenalinya namun tidak mahu memandang mudah kehadiran aktivis itu.

"Saya tak kenal siapa Uncle Kentang. Apapun saya tak kisah, pilihan raya ini mengamalkan sistem demokrasi. Siapapun, sebagai calon kita akan hadapi, kita tak mahu merendah-rendahkan atau melebih-lebihkan.

"Pasal pilihan raya adalah pilihan raya dan rakyat penentu. Kita dah lihat bagaimana sikap rakyat sebenarnya. Sama ada rakyat menyokong atau tak menyokong," katanya yang sebelum itu menziarahi balu bekas wakil rakyat, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor di kediamannya di Semenyih.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 5:40 PM