ALAT penghisap rokok elektronik (vape) yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa ketika pergaduhan di Tampoi. Dua suspek (kanan) ditahan berhubung insiden pergaduhan itu. FOTO ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


PADAH melepaskan geram menggunakan rokok elektronik (vape) hingga mencederakan kepala mangsanya, dua lelaki ditahan di pasar raya di Tampoi, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata, suspek berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan selepas terbabit pergaduhan di kawasan kedai pasar raya itu.

Katanya, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerima maklumat berkaitan pergaduhan membabitkan beberapa individu di pasar raya di Tampoi, kira-kira 10 pagi.

“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat rondaan di kawasan Taman Tampoi Indah pada 10.05 pagi ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala akibat pergaduhan membabitkan dua lelaki lain.

“Berdasarkan maklumat di tempat kejadian, dua lelaki yang mempunyai kaitan dalam insiden pergaduhan itu ditahan,” katanya, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki menemukan alat penghisap rokok elektronik atau vape dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Kedua-dua suspek berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana mencederakan orang.

“Pada masa sama polis juga sedang mengenal pasti motif pergaduhan mangsa dan dua suspek hingga berlaku kecederaan,” katanya.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan dengan kesan luka pada bahagian kepala kiri di kejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kecil terhadap kedua-dua suspek berkenaan didapati negatif pengambilan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Gambar ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:45 AM