GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


TRELER membawa muatan asid nitrik terbalik menyebabkan dua tong cecair bahan kimia itu pecah dan tumpah di Kilometer 270.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di Seremban, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian 5.09 pagi dan 12 anggota termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi.

“Treler itu mengalami kerosakan dan ditunda oleh lori penunda, namun tali penarik terlucut menyebabkan treler berkenaan terbalik.

“Kejadian itu menyebabkan 35 tong berisi asid nitrik terjatuh dan dua daripadanya pecah serta tumpah di atas jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, anggota HAZMAT menjalankan kerja pembersihan tumpahan bahan kimia itu yang mengambil masa hampir dua jam.

Katanya, kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 8:26 AM