AMINUDIN (kiri), Pengasas Bersama Juara Resources, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Pengurus Pembangunan Projek One Diversity, Jamaluddin Sabran (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan dari pokok gaharu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad
cnews@nstp.com.my


KEBIASAANNYA pokok gaharu hanya dapat dituai pada tempoh matang 10 tahun namun, hasil inovasi sebuah syarikat tempatan proses tuaian itu dapat dipendekkan kepada lima tahun sahaja.

Teknik inovasi dikenali sebagai inokulasi itu diperkenalkan sebuah syarikat tempatan, Juara Resources hasil kerjasama dengan sebuah syarikat yang terbabit menghasilkan pati minyak, produk kesihatan dan air hidrosol bermutu tinggi berasaskan pokok gaharu.

Pengarah yang juga pengasas Juara Resources, Aminudin Md Hafidzin berkata, pihaknya menghasilkan sejenis cairan bukan dari bahan kimia yang disapu pada batang pokok selepas proses pembuang kulit bagi proses penggalak menjadikannya 95 peratus hitam untuk menghasilkan kayu gaharu yang berkualiti.

Beliau berkata, proses inovasi ini boleh dilakukan pada pokok yang mencapai usia empat tahun dan selepas proses itu ia mengambil tempoh lapan bulan sehingga satu tahun dulu bulan untuk dituai.

“Inokulasi berbeza dengan cara lama yang dipraktikkan pengusaha yang biasanya menebuk pada batang pokok bagi meletakkan bahan kimia.

“Teknik itu boleh merosakkan pokok selain menyebabkan pokok mudah diserang bakteria.

“Berbanding teknik inokulasi ini ia dapat menjimatkan 50 peratus masa matang pokok dan ia juga mampu menghalang serangan serangga dan bakteria,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya. baru-baru ini.

Katanya, kajian dan teknik inovasi itu turut menerima pengiktirafan dari agensi penyelidikan dan teknologi utama negara, Sirim Berhad (SIRIM), selain turut menerima geran berjumlah RM250,000.

Aminudin berkata, pihaknya turut mempunyai ladang tanaman gaharu sendiri di Bukit Merah, Perak dan Sendayan, Negeri Sembilan yang kini mempunyai lebih 50,000 pokok.

Menurutnya, selain menghasilkan pati gaharu, pihaknya turut mengeluarkan produk hiliràn termasuk air hidrosol, minyak semburan kulit, sabun, minyak telon bayi dan minyak wangi.

“Kami juga menyediakan kursus kepada pengusaha mengenai proses penuaian dan boleh membantu pengusaha untuk mempelbagaikan hasil produk, sekali gus tidak hanya bergantung kepada penghasilan pati minyak gaharu semata-mata.

“Menerusi cara ini, pengusaha dapat meningkatkan pulangan berlipat ganda serta dapat mewujudkan kempen mesra alam dengan mempelbagaikan hasil sisa buangan bagi menjana sumber kewangan,” katanya.

Katanya, menerusi teknik berkenaan, dia yakin industri pokok gaharu akan berkembang maju seiring dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:07 PM