AZAHARI Aris (duduk lima dari kiri) bersama ahli Bersatu menyokong penuh Marzuki semasa sidang media berhubung isu status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar itu. FOTO Ramdzan Masiam.
Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum mengetahui perkara sebenar berhubung isu membabitkan kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya, yang didakwa palsu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya belum menerima maklumat lanjut, seperti yang dilaporkan media mengenai Pengerusi PPBM Pulau Pinang itu.

“Kami belum tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan 2019 di Georgetown, Pulau Pinang tadi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan selepas majlis berkenaan, semua 13 Bahagian PPBM Pulau Pinang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Marzuki.

Setiausaha PPBM negeri, Azahari Aris, berkata akar umbi PPBM menyokong Marzuki berikutan sikap kepemimpinan yang ditonjolkan beliau sejak parti itu ditubuhkan di Pulau Pinang.

“Kita sokong bukan sebab pendidikan beliau, tetapi sikap pemimpin yang ada dalam diri beliau, terutamanya dalam mengemudi PPBM sejak awal penubuhannya di sini.

“Lagi pun, belum pernah ada dalam mana-mana parti politik di dunia ini yang memerlukan sijil akademik untuk menjadi ahli parti,” katanya.

Terdahulu, Marzuki dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Cambridge.

Beliau turut menjelaskan bahawa ijazah dalam pentadbiran perniagaan beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat, dan bukan Universiti Cambridge di England.

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, keputusan mengenai status PPBM untuk melebarkan sayapnya ke Sabah hanya akan dibuat pada Mesyuarat Majlis Presiden.

“Keputusan akan dibuat pada mesyuarat Majlis (Presiden) dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor menegaskan PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ia tidak direstui Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berharap PPBM dapat mengotakan katanya untuk tidak ke Sabah atas dasar ‘perjanjian adik beradik’ yang dicapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:06 PM