NIK Mohamad Abduh keluar dari pejabat SPRM Kelantan selepas selesai memberi kenyataan. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selesai memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir dua jam, hari ini berhubung siasatan PAS didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba di SPRM pada 10.20 pagi sebelum keluar pada 12.30 tengah hari.

Nik Abduh ketika ditemui berkata, beliau memberi keterangan berhubung beberapa perkara termasuk laporan berhubung wang RM90 juta.

“Mereka yang membuat laporan terhadap saya sebenarnya salah orang kerana kalau RM900 saya ada, kalau RM90 juta saya tidak ada.

“Saya membuat kenyataan dan saya tidak ada maklumat berhubung duit itu (RM90 juta). Sepanjang bagi keterangan mereka (SPRM) duk menulis sahaja,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Ketika ditanya berhubung penyebaran rakaman audio yang membabitkan wang RM90 juta, beliau menjawab pendek kerana tiada kaitan dengan rakaman itu.

“Saya sudah jawab sebelum ini benda itu adalah karut, fitnah dan sebagainya...Terima kasih kepada yang melapor. Saya juga tanya mereka (siapa lagi akan dipanggil) dan mereka (SPRM) tidak memberitahu yang mungkin itu urusan mereka.

“Saya tidak fikir akan dipanggil balik kerana mereka salah orang,” katanya.

Selain Nik Abduh, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa, dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan, hari ini.

Mereka ialah antara empat individu disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 1:47 PM