GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


BEKAS Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, Nasharudin tiba, 8.40 pagi tadi.

Selain Nasharudin, turut dijangka hadir memberi keterangan berhubung kes sama ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa.

Sumber memaklumkan, empat saksi penting dipanggil oleh SPRM hari ini termasuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing di Putrajaya dan Kelantan.

Difahamkan, SPRM ketika ini dalam proses mendapatkan dokumen penting termasuk daripada bank yang mempunyai kaitan dengan akaun yang didakwa digunakan bagi menerima dana itu.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:18 PM