KAPAL tangki ditahan APMM Zon Tanjung Sedili selepas gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia di Perairan Pengerang, Kota Tinggi. FOTO Ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan kapal tangki dalam Op Khas Pagar Laut 1/2019 di Perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadi Nayan berkata, kapal itu ditahan pada 1.30 petang dengan kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika tenggara Tanjung Ayam di Perairan Pengerang.

“Sebuah kapal tangki tanpa muatan ditahan kapal ronda APMM dalam Op Khas Pagar Laut 1/2019 yang bermula pada 26 Januari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kapal terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati kapal tangki itu gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya, hari ini.

Mohd Zulfadi berkata, kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu dikendalikan oleh sembilan kru termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 66 tahun dan semua mereka warga Indonesia.

“Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(I) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya turut menahan dua kapal tangki pada 1 dan 4 Februari lalu di sekitar perairan Pengerang, di sini.

“Sehingga kini, empat kapal ditahan atas kesalahan yang sama sepanjang Op Khas Pagar Laut 1/2019 di bawah seliaan Zon Maritim Tanjung Sedili.

“APMM sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:36 AM