OMAR (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM108,000 pada sidang media di IPK Sabah, semalam. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SUAMI isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di Labuan diberkas polis dalam satu serbuan berhampiran pasar buah-buahan di Labuan, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dalam tangkapan itu, pihaknya merampas 2.13 kilogram dadah jenis syabu dipercayai untuk pasaran di daerah itu.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan menerusi operasi berkaitan kegiatan pengedaran dadah di Labuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki dan wanita berusia 20-an sedang berjalan di berhampiran pasar dan didapati lelaki terbabit membimbit beg kain berwarna ungu.

“Lelaki itu ditahan untuk pemeriksaan dan polis menemui beberapa bungkusan plastik minuman segera di dalam beg kain terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dalam bungkusan itu terdapat 42 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.13kg bernilai RM108,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Omar berkata, hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek mendedahkan bahawa syabu itu untuk pasaran di Labuan dan dibawa masuk dari Kota Kinabalu.

Beliau berkata, suspek mendakwa syabu itu dibawa masuk melalui bot laju dari Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:24 AM