NIK Nur Shahindah yang dilaporkan hilang di Dungun ditemui selamat di Hentian Rehat dan Rawat R&R Gambang, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


GADIS orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Gong Pasir, Dungun, ditemui selamat hampir 200 kilometer (km) dari tempat dia hilang, pada 2.30 petang semalam.

Nik Nur Shahindah Nik Zawawi, 20, yang bisu dan mengalami masalah pendengaran dikatakan keluar dari rumahnya pada 5.45 pagi.

Ibu mangsa, Sharifah Salina Tuan Dalam, 43, berkata, anaknya itu disedari hilang kira-kira 6 pagi sebelum mereka mencari di rumah saudara berdekatan.

Menurutnya, dia dan saudara-mara mencari di sekitar bandar Dungun namun gagal menemui anak ketiga daripada lapan beradik itu.

Katanya, dia sangat susah hati dan bimbang akan keselamatannya, namun tidak membuat laporan polis kerana menyangka dia tidak akan keluar jauh dari kampung.

“Jadi saya mengambil keputusan menularkan perkara itu dalam Facebook untuk meminta bantuan orang ramai mencari anak saya.

“Kerisauan saya berakhir apabila seorang netizen menghubungi saya dan memaklumkan menemuinya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, Kuantan, kira-kira 2.30 petang.

“Saya dimaklumkan anak saya menaiki bas ekspres dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum bas berhenti rehat di situ,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima berita itu, dia dan suaminya terus bergegas untuk mengambil anaknya di R&R terbabit.

“Dia seorang anak yang sensitif dan cepat merajuk. Saya ada menegurnya semalam dan tidak menyangka dia bertindak lari dari rumah.

“Saya berterima kasih atas sikap prihatin masyarakat yang sudi membantunya sehingga dia ditemui semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 12:18 AM