Zainab dikunjungi Nur Khurul Ain (dua dari kanan) di rumahnya di Kampung Parit Haji Basri, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


DERITA ditanggung wanita warga emas, Zainab Hassan, 68, sukar dibayangkan apabila kanser paru-paru dihidapinya merebak ke tulang belakang menyebabkannya lumpuh dari paras dada ke bawah.

Zainab berkata, dia mula dikesan menghidap penyakit itu Mei lalu sebelum rawatan susulan dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Menurutnya, pada mulanya rawatan susulan hanya dilakukan sebulan sekali, namun kini terpaksa melakukannya antara dua hingga tiga kali sebulan selepas kanser berkenaan merebak ke tulang belakang.

“Kini saya bukan sahaja tidak dapat bergerak, malah semua urusan berkaitan kebersihan terpaksa memerlukan bantuan keluarga kerana saya tidak boleh bergerak ke bilik air sendiri.

“Disebabkan terlalu lama terbaring, bahagian kulit belakang sudah mengelupas, namun tidaklah sakit kerana ia pada badan yang lumpuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Basri, Simpang Renggam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Serikandi PKR Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abd Samat dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Sharif Mohyin.

Zainab berkata, empat anak perempuannya bergilir-gilir menguruskannya setiap hari, namun ketika mandi mereka akan berkumpul dengan serentak kerana memerlukan tenaga yang banyak untuk mengusung dirinya ke bilik air.

“Bukan bermakna anak-anak tidak membantu menampung kos perbelanjaan perubatan, namun ia terlalu tinggi terutama kos perjalanan pergi ke HSI yang terpaksa menggunakan ambulans swasta dengan belanja hampir RM500 untuk sekali perkhidmatan,” katanya.

Zainab mengakui, dia memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi meringankan beban ditanggung keluarga, terutama bagi keperluan hariannya, seperti membeli lampin pakai buang dan susu khas.

Sementara itu, Nur Khurul Ain berkata, pihaknya akan berusaha mengetengahkan masalah ditanggung Zainab ke pengetahuan pihak berkuasa dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

“Diharapkan orang ramai dapat membantu warga emas ini terutama berkaitan keperluan kesihatannya seperti katil boleh laras, tilam angin, kerusi roda, lampin pakai buang dan lain-lain lagi.

“Pihak Serikandi PKR akan menggerakkan satu usaha untuk mendapatkan keperluan berkaitan dan disumbangkan kepada warga emas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:06 PM