LAPORAN portal Harian Metro.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


KEDUTAAN Besar Malaysia di Phnom Penh sudah mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Kemboja memohon supaya 47 tahanan warga Malaysia yang ditahan di negara itu dibebaskan.

Kementerian Luar dalam kenyataan di Putrajaya hari ini berkata, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga sudah mengadakan lawatan konsular ke atas tahanan berkenaan selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan tahanan adalah terpelihara. Pegawai Kedutaan Besar turut mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes tersebut.

“Tahanan menyatakan mereka ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di sana,” katanya.

Katanya, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh kini sedang memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya dari semasa ke semasa.

Media melaporkan seramai 47 orang warga negara Malaysia ditahan di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka berusia antara 18 hingga 20-an yang mana 44 daripadanya berasal dari Sarawak membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.

Kementerian Luar menerima makluman penahanan itu hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:49 PM