VEKTOR penyebab malaria ialah nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk). FOTO arkib
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


MALARIA knowlesi yang menjangkiti tiga pemancing selepas memancing di Sungai Lembing, Kuantan, bulan lalu, tidak boleh merebak antara manusia ke manusia.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, sebaliknya penyakit itu hanya merebak daripada haiwan kepada manusia.

“Saya mengesahkan tiga pemancing yang positif penyakit itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana demam dan sakit kepala akibat penyakit itu.

“Bagaimanapun tiga lelaki berkenaan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa empat daripada lima pemancing didapati positif malaria selepas memancing di Sungai Lembing.

Beliau berkata, malaria jenis itu jarang menyebabkan kematian dan boleh dirawat melalui kaedah perubatan yang ada pada hari ini.

“Kita tidak tahu haiwan apa yang membawa penyakit ini kerana haiwan yang ada atau pembawa malaria jenis ini tidak dijangkiti penyakit ini sebaliknya ia hanya pembawa.

“Tetapi nyamuk yang membawa penyakit ini kepada manusia akan menyebabkan manusia demam. Ia tidak dijangkiti daripada manusia ke manusia lain. Haiwan apa kita tidak tahu... Mungkin monyet atau haiwan lain,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kes malaria ini kerana pihaknya sudah membuat pemantauan di kawasan Sungai Lembing.

“Saya menafikan kawasan Sungai Lembing ditutup untuk sebarang aktiviti seperti yang ditularkan. Kita hanya melakukan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan dan tidak menutupnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 2:38 PM