Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my


SELEPAS lebih sembilan jam hilang, jurudawai ditemui lemas di Pantai Telong, Melawi, di Bachok, hari ini.

Mayat mangsa, Muhd Faiz Abdullah, 26, ditemui 4 pagi dalam jarak kira-kira 500 meter dari lokasi dia lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, mangsa ditemui lengkap berpakaian baju T warna putih dengan seluar trek.

Katanya, dengan penemuan itu, pihaknya menutup operasi pencarian pad 4.30 pagi.

“Pihak kami serahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Semalam, Muhd Faiz yang tinggal di Kampung Seterpa, Peringat, hilang selepas mandi bersama tujuh ahli keluarga yang berkumpul bagi meraikan hari keluarga sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Mangsa yang juga anak ketiga daripada sembilan beradik dipercayai dihanyutkan ombak hingga ke tengah laut sebelum cuba berenang, namun gagal akibat ombak kuat.

Berita berkaitan

Patutlah asyik termenung je...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:36 AM