FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hemtro.com.my


WANITA yang mengalami masalah mental membakar dirinya dalam kejadian di kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Ayer Itam, di Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, 30, melecur 40 peratus di badan dan turut cedera di dada hingga paha akibat ditoreh dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum itu abang mangsa yang berusia 32 tahun datang ke rumah terbabit yang didiami adiknya bersama ibu mereka.

Menurutnya, ketika kejadian ibu mereka tiada di rumah kerana menghantar adik bongsu yang belajar di Kuala Lumpur.

“Abang mangsa yang masuk ke dalam rumah terkejut apabila melihat rambut dan leher adiknya itu berlumuran darah.

“Dia kemudian bertanya kepada adiknya apa yang berlaku dan wanita terbabit memberitahu dia menoreh dadanya menggunakan pisau,” katanya.

Che Zaimani berkata, abangnya kemudian menghubungi ambulans dan polis untuk mengambil mangsa dan sementara menunggu mereka tiba, abang mangsa membuat pemeriksaan dalam rumah terbabit.

“Ketika itulah mangsa berlari keluar dan dia sempat memanggil nama abangnya sebelum membakar diri menggunakan petrol.

“Abang mangsa bersama dua anggota polis yang tiba tidak lama kemudian cuba memadam kebakaran terbabit dan wanita itu berjaya diselamatkan daripada rentung,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans yang tiba selepas itu dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai masalah mental dengan kali terakhir mendapatkan rawatan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:42 AM