TIGA rakan mangsa (dari kiri) Muhammad Mubashar, 24, Muhammad Kasim, 30 dan Rozikhan Bangay, 27, menceritakan kejadian menyebabkan Bilal lemas di Pantai Petak, Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“KAMI bertiga sudah dapat pegang tangannya, tetapi terpisah selepas dipukul ombak besar,” kata warga Pakistan, Muhammad Kasim, 30, menceritakan detik rakannya yang hilang ketika mandi di Pantai Petak Paka, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, dikhuatiri lemas selepas beberapa kali dipukul ombak ketika cuba mengambil bola hanyut.

Muhammad berkata, sebelum kejadian, dia bersama mangsa dan dua rakan lain senegara, Muhammad Mubashar, 24, dan Rozikhan Bangay, 27, mandi di kawasan itu.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Lahore, Pakistan tiba di Paka sejak 2 Februari lalu kerana ingin melawat dia dan beberapa rakan lain yang bekerja di bandar ini.

“Saya dan sahabat lain bekerja dengan syarikat di Kerteh dan mengajak mangsa tinggal di rumah kami di Jalan Kelisa kira-kira 200 meter dari pantai.

“Kira-kira 12 tengah hari, kami berempat turun ke tepi pantai selepas melihat beberapa anak muda mandi dan bermain bola sebelum kami mengambil keputusan bermain bersama mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Katanya, ketika asyik bermain, bola dilemparkan tiba-tiba hanyut ke tengah dan mangsa berenang untuk mengambil bola berkenaan.

“Selepas mendapatkan bola itu, mangsa tiba-tiba tenggelam timbul. Saya dan dua lagi rakan terus berenang untuk menyelamatkannya.

“Kami bertiga sempat mencapai dan memegang kedua-dua belah tangannya dan air ketika itu sangat dalam sebelum kami dipukul ombak,” katanya.

Menurutnya, pukulan ombak itu menyebabkan semua terpisah dan hampir lemas, namun ketiga-tiga mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi.

Katanya, ketika itu, bilal sudah hilang dari pandangan sebelum mereka naik ke pantai dan meminta bantuan penduduk kampung sebelum ke Balai Polis Paka membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, seramai 20 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, berikutan keadaan ombak kuat pasukan SAR terpaksa mencari dengan kaedah pencarian di pesisir pantai membabitkan satu kilometer dari kiri dan kanan pantai.

“Bagaimanapun, sehingga jam 6.30 petang, mangsa belum ditemui dan operasi akan diteruskan sehingga kami menemuinya,” katanya.

Berita berkaitan

'Abang Pakistan lesap `disapu' ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 9:45 PM