Keadaan kereta mangsa yang remuk di bahagian hadapan selepas terbabas. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

PEMANDU sebuah kereta Proton Iswara dipercayai lelaki warga Pakistan melarikan diri, manakala rakannya parah selepas terbabit kemalangan di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kereta dinaiki dua lelaki terbabit dikatakan terbabas ke bahu jalan sebelum pemandunya keluar, melarikan diri dan meninggalkan rakannya yang tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian oleh orang awam sebelum anggotanya dikerah ke lokasi.

“Maklumat awal mendapati penumpang tempat duduk hadapan iaitu lelaki warga Pakistan tidak sedarkan diri ketika kejadian dan dikeluarkan orang awam, manakala pemandu kereta didakwa melarikan diri.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan. Setakat ini, identitinya belum dikenal pasti dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa juga masih belum sedarkan diri dan dipercayai mengalami gegaran di kepala.

Katanya, pihaknya menunggu mangsa sedar untuk mengambil keterangan dan tidak menolak kemungkinan pemandu kereta itu memandu dalam keadaan mabuk sebelum terbabas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 5:05 PM