LAPORAN Harian Metro, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


TIGA individu rentung apabila BMW X3 dinaiki terbakar selepas terbabas di Kilometer 6.9 Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK), dekat Serdang, semalam, dikenal pasti sebagai suami isteri dan anaknya.

Mangsa, Goh Soay Sing, 68, dan isterinya, Saw Yeng Fui, 65, manakala anaknya, Goh Tian Hing, 44.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian berlaku apabila tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Anggerik Emas, Semenyih selepas menghantar salah seorang ahli keluarga di sebuah stesen pengangkutan awam di Balakong.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Tian Hing, hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Susulan kemalangan itu, Tian Hing beserta ibunya, Yeng Fui, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan bapanya Soay Sing, di tempat duduk penumpang belakang rentung dalam kebakaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Azman, siasatan awal mendapati lokasi berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang melihat kemalangan berkenaan.

Katanya, keadaan cuaca juga adalah baik ketika kejadian berlaku di lebuh raya yang memiliki tiga lorong menghala arah Sungai Long.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 2:51 PM